Tuesday, 1 November 2011

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan




Pendahuluan

Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkembangkan potensi individu ke tahap yang cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pendidikan mampu melahirkan individu berilmu, berakhlak mulia, berbudi perkerti tinggi, sopan, bertanggungjawab, berketrampilan dan sebagainya. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku ke atas individu yang lahir hasil daripada proses pendidikan melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Proses mendidik pelajar perlu berlangsung secara terancang dan sistematik kerana tanpa ciri tersebut proses ini akan mengalami banyak masalah serta halangan sehingga tidak mendatangkan hasil yang diingini. Bagi mendapatkan sistem pendidikan yang sistematik, ia perlu kepada asas atau falsafah pendidikan yang kukuh yang menajadi dasar pendidikan. Falsafah pendidikan menjadi teras kepada sistem pendidikan kerana di dalamnya terkandung matlamat yang hendak dicapai, kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunapakai dan ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam seseorang individu itu (Abu Bakar & Ikhsan 200).

Pengertian Falsafah

Falsafah menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti pengetahuan tentang ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu phileo yang bermasksud cinta dan sophia yang bermaksud kearifan, kebijaksanaan atau hikmah. Cantuman kedua-duanya memberi erti cinta kepada kearifan, kebijaksanaan atau kehikmahan.

Tokoh-tokoh klasik falsafah yang terkenal seperti Socrates (469-399 S.M) memberi penjelasan bahawa falsafah bermula dengan pencarian (wonder), Aristotle (384-322 S.M) pula menyatakan falsafah sebagai usaha menyelidik sebab serta asas kepada segala benda. Manakala John Dewey (1859-1952) pula menyatakan falsafah adalah arah keseluruhan proses pendidikan. Al-Farabi (339-950 M) seorang ahli falsafah Islam menyatakan falsafah sebagai ilmu pengetahuan tentang alam yang maujud dan falsafah adalah untuk menyelidik hakikat alam maujud yang sebenar. Beliau juga menyatakan bahawa falsafah adalah pokok kepada segala ilmu.

Secara konsepnya, falsafah adalah sebagai suatu usaha mencari kebenaran atau keyakinan berhubung perkara yang menggunakan minda dan akal fikiran juga sebagai pertimbangan terhadap suatu perkara yang berasaskan kepada kebenaran bagi memberi penjelasan tentang sesuatu. Menurut Sharifah Alwiah (1985), berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan falsafah adalah sebagai sesuatu penyiasatan yang bersifat sistematik komprehensif dan logik tentang asas-asas pemikiran bagi semua aktiviti manusia dalam bidang-bidang sains, seni, agama dan pendidikan.


Falsafah Pendidikan

Falsafah pendidikan dianggap sebagai satu asas kepada aktiviti pendidikan yang mencerminkan pemikiran dan falsafah sesebuah negara. Ia adalah sebagai langkah permulaan dalam proses pendidikan dan sebagai asas pergantungan kepada unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan seperti matlamat, isi kandungan pendidikan, pendekatan, strategi dan kaedah proses pengajaran. Menurut Abdul Fatah (2001), falsafah pendidikan adalah suatu sistem kepercayaan, pegangan dan prinsip am yang membincangkan berbagai perkara mengenai pendidikan dan pengajaran yang patut dijalankan di sekolah.

Falsafah memainkan peranan sebagai tumpuan segala idea dan juga pemikiran tentang pendidikan; falsafah dapat menjelaskan hala tuju kepada segala usaha untuk memajukan sistem pendidikan negara, berperanan sebagai asas atau dasar dalam menentukan matlamat pendidikan negara, dapat memberi panduan dalam menentukan fokus dan kandungan kurikulum pendidikan; falsafah menunjuk arah kepada pelaksana (sekolah dan institusi pendidikan) dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran; sebagai asas dan memberi arah kepada pembuat dasar pendidikan menentukan corak sistem pendidikan negara.


Matlamat Pendidikan Malaysia

Matlamat Pendidikan Negara adalah melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan yang memiliki dan menghayati ciri-ciri berikut:

· percaya dan patuh kepada tuhan
· berilmu pengetahuan, berfikiran kreatif dan rasional
· berakhlak mulia
· berketrampilan
· berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara
· setia kepada negara, bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik di antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia

Selain daripada itu, adalah diharapkan melalui proses pendidikan matlamat berikut dapat dicapai;
· melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara;
· menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan perlembagaan;
· melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan;
· melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara;
· melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan bersikap toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat berbilan kaum; dan
· mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.


Sejarah Pembentukan Falsafah Pendidikan Negara

Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Sejak itu, kita telah berusaha untuk membina satu sistem pendidikan yang berteraskan falsafah, budaya dan nilai "bangsa Malaysia" sendiri dan berdasarkan matlamat pembangunan yang sesuai dengan keadan dan keperluan bangsa kita.
Di negara kita falsafah pendidikan negara telah difikirkan sejak awal 1980-an lagi dan telah diisytiharkan pada tahun 1988. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang diterbitkan pada 1979 adalah permulaan kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Negara yang lebih jelas. Pernyataan Falsafah Pendidikan Negara adalah seperti berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan keluarga."
( Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988)
Dalam Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara mengalami sedikit tambahan dalam perkataanya dan kemudiannya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK);
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
( Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara (Mok Soon Sang 1993). Pengubalannya juga memerlukan pertimbangan dibuat ke atas beberapa faktor iaitu :

· faktor agama yang dianuti oleh rakyat
· faktor sosial yang meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya
· faktor politik yang menentukan ideologi negara yang juga mempengaruhi dasar pendidikan
· faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha memebawa pembangunan dan kemajuan negara
· faktor individu yang berkaitan dengan keperluan-keperluan asas dan
· faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan rakyat memberi sumbangan ke arah persefahaman antarabangsa.
Prinsip-Prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Berdasarkan kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berikut adalah huraian secara ringkas prinsip-prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan:

Pendidikan satu usaha yang berterusan
Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan perpindahan pengetahuan, nilai-nilai murni, adab dan akhlak serta kemahiran-kemahiran dari satu generasi ke satu generasi.

Perkembangan potensi individu
Potensi ialah bakat dan keupayaan yang dianugerahkan oleh tuhan pada seseorang individu sejak dilahirkan. Potensi meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu dicungkil, diperkembang dan dipertingkatkan secara berterusan melalui proses pendidikan.

Perkembangan menyeluruh dan bersepadu
Pengembangan potensi individu dilakukan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait antara satu sama lain.

Insan harmonis yang seimbang
Manusia yang baik dan sempurna ialah insan yang memiliki kedamaian jiwa, personaliti yang tidak bercanggah di antara akal, rohani dan jasmani serta boleh menyeimbangkan unsur-unsur akal, rohani dan emosi serta jasmani secara serentak, selaras dan sentiasa terikat kepada kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

Unsur intelek
Unsur intelek ini meliputi aspek-aspek seperti hikmah, daya pemikiran yang logik, analitis, kreatif dan inovatif serta ilmu pengetahuan yang benar.

Unsur rohani dan emosi
Aspek ini meliputi keyakinan terhadap Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi perkerti mulia, berbakti dan berkorban untuk negara.

Unsur jasmani
Ini merujuk kepada kecergasan fizikal, kesihatan diri, pemanafaatan anggota dan tenaga fizikal.

Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Ini bermakna seseorang individu yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara tersendiri tetapi ada Penciptnya dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan dan manusia dianjurkan mengkaji fenomena alam. Manusia hendaklah memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam mentadbir dan memakmurkan alam.

Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Ini bermakna penduduk Malaysia memiliki ilmu yang benar dan menggunakannya untuk manafaat diri dan orang lain.

Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat yamg mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi sentiasa rela memberikan sumbangannya demi kemajian dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara

Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
Ini bererti penduduk yang memiliki tingkah laku yang baik hasil dari dorongan di dalam jiwa. Proses pembentukan akhlak ini hendaklah berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan.

Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
Ini bermakna penduduk hendaklah amanah terhadap Tuhan, negara, masyarakat dan diri. Seterusnya mereka akan melaksanakana tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri. Pendidikan hendaklah menghasilkan individu yang berupaya mencapai keseimbangan dan keharmonian diri dan dengan itu akan memiliki jiwa yang tenang, damai dan sejahtera.

Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
Ini bermakna penduduk Malaysia rela berbakti dan berkorban untuk masyarakat dan negara.

Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara
Pendidikan bertujuan mewujudkan masyarakat Malaysia yang makmur dan sejahtera hasil daripada hubungan yang harmonis di antara penduduk dengan Tuhan, penduduk sesama penduduk dan penduduk dengan alam.

Oleh itu, pendidikan hendaklah dapat membina kesedaran tentang ketuhanan dan kesediaan untuk mematuhi-Nya. Sejajar dengan falsafah yang berpaksikan kepada ketuhanan, pendidikan berhasrat untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab serta boleh menikmati kebahagiaan hidup dan sedia berbakti untuk masyarakat dan negara.

Konsep Asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan

· Ontologi ( teori kejadian )
Ontologi merujuk kepada aliran falsafah yang meneliti hakikat kewujudan manusia, makhluk-makhluk lain, alam semesta dan Tuhan. Ia menganalisis secara sistematik dan logik tentang persoalan sifat semula jadi alam semesta dan makhluk-makhluk dalam alam, kewujudan dan kekuasaan Tuhan, dan keupayaan akan dan hasil fikiran manusia.

· Epistomologi ( teori ilmu )
Epistomologi adalah falsafah yang bersifat inkuiri tentang kebenaran dan jenis ilmu pengetahuan yang dipelajari, samada dalam situasi pendidikan formal ataupun yang bukan formal. menghuraikan takrif, punca, sumber dan peranan ilmu

· Aksiologi ( teori nilai )
Aksiologi ialah cabang falsafah yang menganalisis sifat, punca dan kepentingan nilai-nilai. Ia termasuk etika, iaitu tentang peradaban moral dan estetika iaitu tentang kesenian dan kehalusan pekerti dan kejadian alam dan manusia.

Rangka Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

1. Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Aspirasi FPK ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang Maha Esa.

2. Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan bagaimana aspirasi yang terkandung dalam falsafah tersebut dilaksanakan di dalam program pendidikan (semua peringkat : prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi), corak dan proses pendidikan

3. Hasil
Kesan akhir pendidikan sebagai yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah ingin melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, patuh kepada ajaran agama, berilmu pengetahuan, beketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan diri. Disamping itu ia juga ingin melahirkan rakyat yang mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem pendidikan iaitu sebagai dasar, hala tuju dan panduan kepada segala usaha yang dilakukan bagi peningkatan kualiti pendidikan negara. Peranan falsafah dalam pendidikan adalah merupakan tunjang kepada semua aktiviti dan usaha pendidikan di negara kita. Ia menekankan perkembangan individu yang menyeluruh iaitu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani

Dalam sistem pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan penting iaitu:

· sebagai suluh yang memberi panduan dan hala tuju kepada usaha mengembangkan dan memajukan pendidikan;
· menjadi dasar dan pertimbangan asas bagi menentukan Matlamat Pendidikan Negara;
· sebagai rujukan untuk membantu pendidik memahami sistem pendidikan;
· sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan;
· sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum, bahan-bahan pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran;
· sebagai pengawal ke atas aktiviti penyelewengan daripada dasar pendidikan; dan
· menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.


Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Sistem Pendidikan Malaysia

Sejak diisytiharkan, FPK telah menjadi agenda utama dalam reformasi pendidikan dan telah membawa pelbagai implikasi kepada sistem pendidikan di Malaysia iaitu :
1. Implikasi Terhadap Tradisi / Budaya Sekolah

Bagi merealisasikan falsafah pendidikan yang tersurat berserta KBSR dan KBSM yang dibentuk, beberapa perubahan penting telah dialami oleh sekolah. Perubahan-perubahan ini adalah sangat penting bagi tujuan keselariannya dengan falsafah pendidikan dan kurikulum tersebut. Disamping itu penyusunan semula organisasi sekolah dalam mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan pelajar menghayati matlamat dan aspirasi FPK, antaranya ialah:

· Menaiktaraf fasiliti sediada di sekolah bagi membantu mengembangkan potensi pelajar berdasarkan jasmani, emosi, rohani dan intelek
· Perkenalkan aktiviti sosial yang menggalakkan perkembangan budaya sekolah untuk penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar
· Perubahan dalam suasana pembelajaran sekolah bagi menggalakkan perkembangan potensi intelek pelajar dalam bidang baru ( cth: ICT), suka kepada ilmu pengetahuan dan mengukuhkan budaya membaca
· Aktiviti ko-kurikulum menjadi komponen yang penting dalam kurikulum sekolah bagi mengembangkan aspek emosi dan sosial pelajar untuk mewujudkan perpaduan

2. Implikasi Terhadap Reformasi Pendidikan

Sejak merdeka, sekolah telah melalui berbagai peringkat reformasi dalam sistem pendidikan, antaranya:
· Perkenalkan sistem pendidikan bersepadu pada 1965
· Perkenalkan Sains Paduan dan Matematik Moden pada 1971
· Pelaksanaan KBSR untuk sekolah rendah pada 1983
· Pelaksanaan KBSM untuk sekolah menengah pada 1989
· Perkenalkan matapelajaran Sains dan Kajian Tempatan pada 1994
· Pelaksanaan Konsep Sekolah Bestari pada 2000
· Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran matapelajaran Matematik, Sains dan Teknikal pada 2003

3. Implikasi Terhadap Tanggungjawab Guru
Guru sebagai agen perubahan untuk mendidik dan melahirkan generasi masa
depan, bertanggungjawab merealisasikan matlamat dan aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu mendidik pelajar menjadi warganegara berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berkeupayaan mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Selain itu, guru berperanan mendidik pelajar supaya mempunyai pelbagai kemahiran hidup dan membawa inovasi untuk memenuhi hasrat dan keperluan individu, masyarakat dan negara.

Bagi tujuan ini, guru-guru perlu berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran profesional yang terkini dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, disamping menjadi role model kepada pelajar-pelajar mereka.

Di peringkat sekolah, peranan guru dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif kurikulum dan isi kandungannya bagi menentukan keperluan pelaksanaannya. Guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan juga penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksana pengajaran mengikut saranan kurikulum serta membuat penilaian bagi mengenal pasti kekurangannya untuk tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum. Selain itu, guru perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum serta khidmat sosial bagi kepentingan para pelajarnya (Abu Bakar & Ikhsan 2003).
Cabaran Dalam Pelaksanaan FPK

Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik adalah untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya kefahaman tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Dalam erti kata lain, pendidikan ialah proses pembinaan diri insan secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu, proses membangunkan kesedaran dan nilai-nilai insaniah, ‘ conscientization ‘ dan proses membangunkan kesedaran dan nilai-nilai murni dan lurus dalam diri agar terpancar kebaikan pada diri manusia dan alam.

Namun sejak pelaksanaannya pada 1988, Falsafah Pendidikan Kebangsaan sering berhadapan beberapa persoalan dan isu tentang keperluan untuk menilai keberkesanannya. Antara persoalan yang sering dibangkitkan adalah kefahaman guru tentang konsep dan prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalamnya. Kefahaman tentang konsep dan prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah penting kerana jika guru tidak mempunyai keupayaan dari segi pengetahuan, kefahaman dan kemahiran untuk melaksanakan sesuatu perubahan atau inovasi pendidikan, maka perubahan sukar dilaksanakan dengan berkesan (Azrin 2004).

Meski Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dimetrikan sebagai asas matlamat dalam Akta Pendidikan Negara 1996, kesan menyeluruh daripada pelaksanaannya belum dapat dilihat secara ‘substantial’ dan ‘behavorial’. Terdapat 15 nilai-nilai murni yang dijadikan prinsip dalam merentasi kurikulum dan ko-kurikulum namun natijah holistik dalam pembentukan watak belum terlihat dengan .jelas.

Hal ini dibangkitkan kerana terdapat kelemahan pedagogikal dan metodologikal di peringkat proses pengajaran dan pembelajaran dalam mengartikulasi maksud falsafah, nilai dan agama. Pendekatan pedagogikal masih bercorak preskriptif bukan artikulatif malah amat sedikit yang berbentuk model atau contoh yang mampu menjadi sumber ikutan dan teladanan. Prinsip falsafah tidak diterjemah dengan baik dalam konteks sahsiah pendidik, kualiti kurikulum, buku teks, dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Faktor agama dan nilai lebih banyak diungkapkan secara terbatas dan kurang mampu membentuk sahsiah dan personaliti.

Warga guru haruslah dapat memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri supaya mereka berkeupayaan mendidik para pelajar menuju ke arah matlamat ini. Dengan kefahaman dan penghayatan yang mendalam ini, warga guru diharap dapat menilai sendiri samada pengajaran mereka bersesuaian dan memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Azrin (2004), punca utama yang menyebabkan guru tidak dapat melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah kerana mereka menghadapi masalah memahami prinsip-prinsip di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menerapkan prinsip-prinsip yang abstrak dan sukar difahami di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Falsafah dan matlamat pendidikan yang halus dan indah hanya akan tinggal di atas kertas jika tidak diterjemahkan dan dijelmakan secara praktik. Justeru itu perlu dicari pendekatan dan strategi yang sesuai bagi menterjemah dan menjayakan hasrat falsafah untuk melahirkan insan yang beriman, berilmu, berakhlak, berketrampilan, seimbang dan harmonis. Pada masa yang sama kita perlu menggarap sekali keperluan-keprluan semasa ( di dalam dan luar bidang pendidikan ) dan masa depan yang akan ditempuhi oleh anak didik masa kini.

Dalam konteks Falsafah Pendidikan peningkatan keupayaan intelek dan penguasaan sesuatu kemahiran adalah sama pentingnya dengan pemupukan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan individu yang dianggap seimbang. Menurut Tajul Ariffin (2002), kekuatan aspek rohani adalah paksi yang menjadikan seseorang individu itu dapat mengharungi kehidupan sebagai hamba kepada penciptanya.

Jika diperhati dan dianalisis, pada hakikatnya kita sedang berhadapan dengan pelbagai masalah yang mencabar kewibawaan profesion perguruan. Diantaranya ialah masalah akhlak, iman, budaya lepak, buli, ponteng sekolah. Oleh yang demikian pendidik harus sentiasa mempunyai persediaan ilmu, kemahiran/profrsional, ketahanan akal, ketahanan emosi, kekukuhan akhlak atau moral dan ketahanan fizikal. Dalam menjalankan tugas, guru bukan saja menyebarkan ilmu pengetahuan, tetapi menunjukkan sikap dan tingkah laku yang boleh diteladani oleh pelajar-pelajar.

Satu lagi realiti dalam masyarakat kini ialah pendidikan terlalu mementingkan kejayaan individu, kebendaan dan kemewahan. Untuk mencapai tujuan tersebut, hanya aspek akal atau intelek saja yang dikembangkan sedangkan aspek akhlak dipinggirkan. Akibatnya lahirlah para intelek yang tidak berakhlak yang sanggup menggunakan kepandaian untuk melakukan penyelewengan dan jenayah kolar putih. Oleh yang demikian sewajarnya guru memberikan penekanan bukan saja dari aspek kognitif dan intelek, tetapi juga dari aspek akhlak dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.


Persoalan-Persoalan Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sejak pengisytiharan dan pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988, ia sering berhadapan dengan beberapa persoalan iaitu :

1. Keberkesanan hasil penerapan FPK
Meski FPK sebagai asas ke arah mencapai matlamat pendidikan, kesan menyeluruh daripada pelaksanaannya belum dapat dilihat dengan jelas. Walaupun nilai-nilai murni dijadikan paksi merentasi kurikulum dan ko-kurikulum namun kesan holistik dalam pembentukan watak belum terlihat dengan jelas.

Penerapan FPK dalam subjek yang diajar dan kurikulum yang disampaikan masih bersifat konseptual dan diskriptif. Pendekatan yang lebih realistik harus menumpu ke arah pendekatan yang lebih transformatif dan mampu membentuk sahsiah tinggi.

2. Hasrat dan maksud FPK tidak difahami dan dihayati sepenuhnya

Kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengartikulasi (menyatakan dengan jelas) maksud falsafah. Keadaan in wujud kerana kepakaran dan profesionalisme guru yang tidak kemas kini dan releven ke arah pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Azrin (2004), ini disebabkan kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu adalah bersifat konsep, proses dan pengetahuan. Sekiranya guru tidak dapat mengenalpasti sifat kandungan falsafah tersebut, maka sudah tentu mereka tidak dapat menghayati Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan tafsiran dan huraian kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaaan itu sendiri.

Hasrat FPK, kurikulum, strategi pengajaran dan kaedah penilaian serta kaedah pelaksanaan mengarah kepada merealisasikan hasrat FPK tidak dihayati oleh semua pihak (pelajar, guru dan pihak pengurusan dalam pendidikan). Pelajar bukan sahaja tidak mampu mengikuti sukatan yang disediakan malah keseronokan dan kepuasan belajar itu sendiri telah berkurangan.

3. Penekanan terhadap FPK tidak diberi perhatian lagi / terabai
Kegagalan guru menyampaikan ilmu secara bersepadu menghasilkan pelbagai kemelut melibatkan pelajar, antaranya masalah disiplin dan gejala-gejala tidak baik. Sebagai akibat seterusnya gejala-gejala negatif ini akan memepengaruhi proses kesuburan potensi pelajar-pelajar tersebut.

Kegiatan Kokurikulum lebih menjuruskan kepada memenuhi masa kosong dan tidak benar-benar mendidik untuk membina sahsiah pelajar yang kukuh. Guru-guru melaksanakan tidak mempunyai komitmen tinggi sehingga perjalanan

4. Pendidikan menekankan lebih kepada peperiksaan

Sistem peperiksaan yang menjadi oriantasi pendidikan kini hendaklah segera diubah supaya pembinaan pelajar tidak hanya terikat kepada kecemerlangan yang hanya diukur dari segi gred dan markah yang dicapai. Pendidikan yang ada kini ternyata amat bersifat ‘exam-oriented’ dan tidak membantu melahirkan pelajar yang cemerlang keperibadiannya. Amalan pendidikan lebih menekankan aspek akademik dan peperiksaan (aspek kognitif) mengakibatkan lahir pelajar intelek tapi tidak mahir dalam soal pengurusan hidup dan kurang berakhlak (Tajul Ariffin 2002).


Peranan Warga Guru Dalam Pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Mempersiapkan generasi hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru dalam era globalisasi terletak di tangan dan di bahu para guru di pelbagai peringkat, amat mememerlukan kesedaran tinggi bagi memeperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikaikan dan di pandang rendah. Warga guru perlu mempertingkatkan profesional mereka dengan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Peofesion keguruan masakini telah menjadi semakin kompleks hasil daripada perkembangan dan kemajuan dalam bidang pendidikan. Perkembangan dan perubahan drastik dalam sektor ekonomi, sains, teknologi dan komunikasi misalnya menuntut warga guru meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang tersebut.

Profesion guru terutama dalam zaman yang mencabar ini bukanlah semudah yang disangka. Sebagai aritek sosial, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu. Guru dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara. Disamping itu, guru juga sering dikaitkan sebagai agen perubahan dalam agenda sosial, politik dan ekonomi. Perubahan-perubahan yang dikehendaki oleh kerajaan selalunya disalurkan melalui falsafah dan matlamat yang perlu diterjemahkan oleh guru dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum.


Peranan Pengurusan Pendidikan

Warga guru merupakan golongan yang mempunyai kedudukan terpenting dan berada di barisan paling hadapan dalam melaksanakan segala program pendidikan formal di sekolah. Sehubungan itu, kejayaan dan kegagalan program pendidikan banyak bergantung kepada keupayaan guru melaksanakannya dengan berkesan dan cemerlang. Oleh itu selain perlu mempunyai kelulusan dalam bidang akademik yang setaraf, warga guru perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam bidang pendidikan bagi membantu mereka memberikan sumbangan ke arah kecemerlangan dalam bidang tersebut.

Sesungguhnya peningkatan profesionalisme guru banyak bergantung juga pada pelbagai pihak lain, selain diri guru itu sendiri. Usaha untuk memantapkan profesion perguruan memerlukan kerjasama semua pihak. Pihak pengurusan pendidikan boleh membantu guru memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dan meningkatkan kualiti profesionalisme guru melalui:
1. Program latihan dan pembangunan perguruan

Program latihan dalam konteks ini meliputi latihan pra perkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan. Tidak dinafikan bahawa institusi-institusi latihan perguruan, baik maktab, institut mahupun universiti telah memainkan peranan yang besar melahirkan para guru. Namun masih terdapat sebilangan tenaga pendidik di institusi pendidikan tinggi kurang menghayati pendekatan bersepadu serta prinsip-prinsip dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dapatkah kita harapkan bahawa guru pelatih yang kemudian mengajar di sekolah, yang tidak memperoleh pendedahan yang cukup daripada pensyarahnya, mencapai tahap profesionalisme yang sewajarnya? Berkaitan dengan latihan dalam perkhidmatan pula, adalah perlu Kementerian Pelajaran membuat perancangan semula yang lebih rapi agar para guru benar-benar memperoleh maklumat dan kemahiran yang secukup-cukupnya tentang prinsip-prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspek kaedah pengajaran menurut pendekatan bersepadu. Kita nampaknya kaya dengan idealisme dan gagasan (sesuatu yang memang positif) tetapi agak kurang memperhatikan aspek pelaksanaan yang berkesan.

2. Pemantauan dan penyeliaan

Pemantauan dan penyeliaan yang lebih rapi adalah perlu untuk memastikan terlaksananya pendidikan menurut pendekatan bersepadu. Hanya dengan pemantauan yang berkesan sahaja barulah segala idealisme dan gagasan yang melandasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Reformasi Pendidikan dapat dipastikan pelaksanaannya.

3. Galakkan dan sokongan

Galakkan dan sokongan dari pentadbir sekolah tidak kurang pentingnya dalam menentukan peningkatan profesionalisme pendidik. Namun iltizam, sikap dan kesungguhan setengah-setengah pentadbir sekolah dalam pelaksanaan hal ini kadang-kadang amat mengecewakan.

Pihak pentadbir sekolah perlu memeberi tumpuan yang serius terhadap motivasi kendiri guru-guru, perasaan individu dan keperluan perkembangan profesionalisme mereka. Sehubungan itu, pentadbir sekolah perlu mewujudkan peluang atau saluran dan kemudahan kepada guru-guru untuk pembangunan kebolehan, potensi dan kemahiran supaya mereka boleh menyumbang kepada kecermerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar.

4. Pengiktirafan dan penghargaan

Faktor penghargaan dan imbalan kepada guru sudah sering diperkatakan. Skim perkhidmatan yang menawarkan imbalan yang kurang seimbang dengan sifat kerjaya guru yang amat mencabar serta ketiadaan kemudahan dan faedah tertentu turut menghambat upaya peningkatan profesionalisme guru. Beban tugas guru kini turut memberikan kesan kepada upaya peningkatan profesionalisme guru. Waktu pengajaran yang banyak, saiz kelas yang besar, dan kurangnya bantuan kakitangan sokongan menyebabkan guru berasa tertekan.

Cadangan

Warga guru perlu dapat melihat perkaitan antara objektif pengajaran yang dirancang dengan objkejtif nilai-nilai murni dengan memahami maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi matlamat seluruh proses pendidikan yang dirancang. Warga guru juga perlu meneliti bagaimana kurikulum, sukatan pelajaran, kaedah penilaian, pendekatan dan strategi pengajaran mengarah kepada tuntutan merealisasikan hasrat falsafah pendidikan tersebut.

Dalam proses memikirkan dan merancang objektif nilai-nilai murni, adalah sama prosesnya dengan merancang bagi kemahiran kognitif (kefahaman) atau kemahiran psikomotor kerana objektif nilai-nilai murni adalah objektif afektif. Objektif afektif ini dapat diterjemah ke dalam bentuk unit-unit tingkah laku yang dapat dilihat, didengar dan diukur jika dirancang dengan teliti.

Berikut adalah beberapa cadangan yang difikirkan perlu dilihat oleh warga guru dan pihak pengurusan pendidikan dalam mencapai hasrat dan aspirasi yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan:

• Guru seharusnya terlebih dahulu perlu diberi pemahaman dan penghayatan tentang pengertian setiap pernyataan yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya mereka berkeupayaan untuk mendidik pelajar-pelajar ke arah matalamat yang bersesuaian dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini kerana kejayaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan banyak bergantung kepada sejauh mana guru memahami konsep-konsepnya dan bagaimana mereka menerapkannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

• Kajian semula dan kemaskini kurikulum latihan perguruan agar lebih terkini dan releven selaras dengan perubahan dalam bidang pendidikan yang bersifat global sebagai persiapan untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Disamping itu kurikulum pendidikan guru seharusnya bersifat intelektual yang tinggi dari segi akademik dan profesionalisme.

• Guru perlu lengkapkan diri dengan akhlak dan peribadi mulia yang akan menjadi role model kepada anak didiknya. Guru seharusnya menjadi teladan kepada pelajar bukan sahaja dari aspek ketrampilan tetapi juga dari aspek pendidikan dan profesionalisme dalam pembinaan generasi masa hadapan.

• Sebarang rombakan dalam sistem pendidikan bukan dibuat secara ad hoc tetapi perlu secara menyeluruh meliputi guru, sekolah dan pelajar. Elakkan amalan ujicuba tanpa membuat sebarang kajian mendalam dan berhati-hati terhadap implikasinya pelaksanaannya dan supaya ia tidak bersifat situasi.

• Dapat melihat perkaitan antara objektif pengajaran yang dirancang dengan objektif nilai-nilai murni dengan memahami maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi matlamat seluruh proses pendidikan yang dirancang. Disamping itu penerapan nilai-nilai murni ini seharusnya dimulakan dari peringkat rendah dan dilaksana secara berterusan. Komponen unsur nilai murni ini sangat penting sebagai teras di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana apa yang hendak dilahirkan adalah perwatakan insan dalam diri manusia yang dijadikan Tuhan. Oleh itu unsur-unsur ini perlu dinyatakan dengan sengaja dan jelas agar dapat dijadikan panduan oleh pelajar di dalam menghayatinya (Hussein 1993).


• Merealisasikan transformasi pendidikan dan sebagai agen perubahan, guru seharusnya dapat menterjemah hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam aktiviti kurikulum dan ko kurikulum. Penekanan yang lebih dalam bidang ko kurikulum, contohnya dalam sukan dan aktiviti persatuan dan kelab merupakan salah satu cara yang berkesan ke arah pembentukkan individu yang terpelajar, terdidik dan mempunyai sahsiah yang lebih positif.

• Pengoperasian Falsafah Pendidikan Kebangsaan hendak dilaksanakan di semua peringkat dengan kurikulum yang digubal berasaskan pendidikan bersepadu, oleh itu adalah penting untuk guru benar-benar dapat mentafsir dan memahami apa yang dihasratkan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

• Matlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan berkebolehan sebenarnya mencakupi tiga unsur asas yang penting iaitu kognitif (akal), afektif (sikap) dan psikomotor (kemahiran). Oleh itu tumpuan yang seimbang dalam bidang kognitif, afektif dan psikomotor harus diberi penekanan supaya proses pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan dapat memberikan manafaat dan kesan yang positif kepada diri pelajar.

• Meneliti bagaimana kurikulum, sukatan pelajaran, kaedah penilaian, pendekatan dan strategi pengajaran mengarah kepada tuntutan merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Penutup

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah menjadi landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan. Ia juga adalah gambaran cita-cita serta hala tuju kepada semua usaha dan perjuangan rakyat negara ini melalui proses pendidikan. Semua program dan aktiviti pendidikan adalah terbitan daripada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat direalisasikan dan tidak bermakna jika ianya tidak dapat difahami dan dihayati serta dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan. Tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat ini terletak dibahu guru dalam menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kepada pelajar-pelajar.

Warga guru sebagai pelaksana segala agenda dalam bidang pendidikan adalah insan yang bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu sistem pendidikan itu sendiri. Sehubungan itu, guru seharusnya memperkembangkan profesionalisme mereka dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui penglibatan di dalam segala latihan yang berkaitan dengan mendapat sokongan padu dan galakan daripada pihak pengurusan pendidikan

Rujukan

Abd. Fatah Hasan. 2001. Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publication and Distributors.

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. 2003. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjong Malim: Quantum Books.
Azrin B. Ab. Majid. 2004. Tinjauan Awal Terhadap Kefahaman Falsafah Pendidikan Kebangsaan di kalangan Guru Sekolah Menengah di Melaka. Tesis Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hussein Hj. Ahmad. 1993. Pendidikan dan masyarakat:antara dasar, reformasi dan wawasan: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mok Soon Sang. 1993. Pendidikan Di Malaysia. Ed. ke-6. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. 2003. Philosophy of Education Curiculum Development. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Sharifah Alwiah Alsagoff. 1985. Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur:Heineman.

Sufean Hussin. 1993. Pendidikan Di Malaysia:sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. 1993. Wawasan Pendidikan:agenda pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

No comments:

Post a Comment